Wednesday, June 30, 2010

Duka, di Malam Pengantin

Duka di malam pengantin...
Isk...isk...isk...isk...sedih dan sayu malam itu. Teresak-esak dia menangis nak ikut Kak Long masuk ke bilik tidur. ‘Nak ikut...nak ikut...nak ikut ....rayunya pada Kak Long  sambil menangis dan menarik-narik tangan  baju Kak Long. 


Masih segar dalam ingatan bagaimana adik bungsu ku, meronta-ronta tidak mahu dipisahkan ketika Kak Long nak masuk tidur. Amat terharu dengan apa yang dilihat di luar bilik pengantin ketika itu... Kebetulan ibu saudara sebelah abah, ada bersama. Dipimpinnya tangan adikku, ditarik ke dapur dan diserahkan aman kepada kak ngah untuk dipujuk supaya berhenti dari menangis.  Suasana bungkam. Riak wajah Kak Long serba tak kena. Hilang keayuan raut pengantinnya sebentar. Dia amat serba salah. Wajahnya yang putih melepak bertukar menjadi merah padam menahan sebak.

Apa kan daya, Kak Long perlu akur pada ketentuan alam. Kak Long sudah kepunyaan orang. Malam itu malam pertama Kak Long bergelar isteri.....siang tadi baru selesai majlis pernikahan dan persandingan antara Kak Long dengan suaminya. Terlerailah sudah tanggungungjawab Kak Long sepanjang hidupnya, menjaga kami selama ini...

Sejak malam itu, adik bungsu ku tidur bersama-sama dengan adik-beradik yang lain. Mimpi dan ingauannya sepanjang malam, benar-benar meruntun hatiku. Nama Kak Long tak lekang dari bibirnya. Persekitaran malam amat mengharukan, sayu dan pilu. Sejak emak kami tiada, Kak Longlah yang paling rapat  dengannya kebetulan Kak Long sentiasa berada di rumah. Sangkanya Kak Long itulah ibu kandungnya. 

Hinggalah pada usia 6 tahun baru adikku tau duduk perkara sebenarnya....kak long hanya seorang kakak yang sanggup mengorbankan kebahagiaan dirinya untuk insan-insan yang disayang.

Sejarah baru kami bermula...Hidup kami berubah...Kak Long dah ada hidupnya sendiri. Segala gerak lakunya tidaklah boleh lagi sebebas dulu...memanjakan kami sehabis hati. Kami turut simpati dengan keadaan Kak Long yang sentiasa berada di persimpangan, serba salah. Banyak hati dan perasaan yang perlu dijaga. Hati...

1.     suami...
2.     abah...
3.     ibu mertua....
4.     bapa mertua...
5.     ipar duai yang ramai...
6.     adik-beradik...
7.     saudara mara....dan banyak lagi

Bagi Kak Long....benarlah kenyataan yang pernah dibisik-bisikan ke telinganya sebelum ini....iaitu....”perkahwinan adalah satu perkongsian....juga satu pengorbanan...bukan saja dengan suami malah seluruh isi keluarganya.”  Kak Long pasrah dengan ranjau hidup yang bakal dilaluinya. Likuan kehidupan yang terbentang luas di hadapannya perlu dilalui dengan tabah. 

Aku tahu, nun jauh di sudut hatinya Kak Long berazam dan berjanji akan menjadi isteri yang taat pada suami dan baik pada semua yang terlibat dengannya. Itu janji Kak Long. Aku yakin semua itu mampu ditangani olehnya. Kak Long bijak, cerdas cuma peluang tidak menyebelahinya. Kak Long mampu merempuh badai rumah tangga dengan jayanya. Sesungguhnya, pada beliau ada segala-galanya termasuk ciri-ciri wanita solehah.....




Friday, June 25, 2010

Sayang Kami Kekal Padamu...

Sayang Kami Padanya
Cepat benar masa berlalu. Laluan hidupnya penuh dengan pengalaman pahit, manis, yang tak mungkin dapat dilupakan. Alam remaja yang bakal ditinggalkan terseret bersama-sama kepedihan suasana. Pun begitu kak long akur dengan ketentuan Tuhan. Dugaan dan cabaran hanya milik mereka yang DIA pilih. Menginjak usia 16 tahun dengan 8 adik yang perlu dijaga kak long dianugerahkan dengan perasaan sayang, cinta, rindu dendam serta bagaimana indahnya dimiliki oleh insan yang bergelar suami.
Rasa itu dilempar jauh di sudut hati. Fitrah manusia bernama Marizah belum dapat menerima aturan yang telah ditetapkan padanya. Kak long menidakkan jodoh yang tiba buat sementara waktu melalui beberapa risikan pinangan dari beberapa kenalan emak dan abah. Pada kak long adik-adik tak sanggup untuk ditinggalkan. Sedar dengan hakikat itu....adik-adik perlu dilatih segera supaya boleh berdikari apabila beliau pergi. Yang lebih besar perlu menjadi pengganti untuk melaksana tugas-tugasnya. Jadilah warisan keluarga...kakak atau abang menjaga adik yang lebih kecil....
Mendirikan Kebun Pak Awang di tepian rumah: 
Dalam renyai2 hujan...kebun ini didirikan. Diberi nama kebun Pak Awang sebab kebetulan masa itu ada kempen bumi hijau melalui rancangan bersiri melalui radio iaitu siri Kebun Pak awang. Pagarnya diperbuat dari nyiur kelapa kering. Disusun menegak berlapis-lapis rapat-rapat sehingga tiada ayam, itik, kambing, kerbau yang boleh masuk. Kebun yang seluas 15 x 15 meter itu ditanam dengan pokok ubi kayu, ubi keledek, peria, cili, kacang panjang, sayur bendi, kangkung dan juga terung. Semuanya tanaman yang membolehkan bekalan sayur keluarga ini mencukupi.   
Dikebun inilah tanggungjawab diberikan pada adik-adik yang masih kecil. Tujuan kak long hanyalah mahu mereka berdikari jikalau keadaan memerlukan. Apakan tidaknya kerana kak long sedar...tiba masanya beliau akan pergi juga sama ada berkahwin mengikut suami atau pergi buat selama-lamanya. Pada kak ngah pesan diberi ketuakan kerja di kebunan
Kak Besah - membetulkan pagar yang rosak
Aku - menyemai biji benih pokok yang sesuai
Dollah -  menyiram pokok dari telaga berdekatan
Talib – menabur baja dari reban ayam dan itik
Noor – membersihkan daun-daun yang gugur
Yatie - menyalut buah di pokok2 yang rendah
Aman – adik bungsu yang masih kecil

Bagi kak long....akan bahagialah dia jika adik-adiknya terpelihara. Kebetulan di usia itu kak long sedang beria-ia melatih kami dengan kemahiran-kemahiran yang dia ada. Teringat aku beberapa peristiwa di mana aku melatih kemahiran menjahitku dengan menggunakan peralatan yang ada di sekeliling. Tidak dapat aku lupakan bagaimana aku membuat beg sandang sekolah menggunakan kaki seluar abah dan tidak dapat kami hilangkan kenangan di mana pada usia 13 tahun aku dah  pandai menjahit baju untuk kedua adik perempuanku nor dan yati. Baju pertama yang ku jahit menggunakan kain kotak-kotak kecil yang kubeli dari kedai di Simpang Kuala. Baju yang tidak berlengan itu, sering dipakai oleh kedua-dua mereka apabila balik dari sekolah.

Kak long menggalakkan adik-adiknya menurut minat masing-masing. Kak ngah dengan minat menjahitnya,kak besah dengan minatnya memasak. Sehinggalah sekarang ke enam-enam adik beradik perempuanku boleh dan pandai menjahit baju keluarga masing-masing. Tak kan hilang kemahiran yang kak long turunkan...
Akhirnya, pada usia 17 tahun kak long dilamar oleh seorang lelaki yang mulia hatinya. Itulah abang iparku yang turut melaksanakan kewajiban mendidik kami. Kak long dinikahi dan disandingkan. Bermulalah hidup kak long sebagai isteri kepada suami dan menantu kepada ibu dan bapa mertua. Dalam masa yang sama kak long masih meneruskan kewajibannya kepada adik-adiknya yang kehilangan kasih ibu dalam usia yang masih muda.
Kusangka panas hingga ke petang rupanya hujan di tengah hari....Begitulah ketentuan nasib kak long dalam melayari bahtera berumahtangga. Bahagia dalam keharmornian yang dicipta sendiri bersama suami tersayang Haron namanya. Bersambung.....


Antara Yang Aku Damba...



Indah ciptaan Tuhan




Mesra dengan Alam                                                                                                                                                                                



warna dan kehidupan.




Damai dan Tenang 

Thursday, June 24, 2010

Erti Kasih Sayang Abah

Erti Kasih Sayang Abah

‘Abah...balik...abah balik...abah balik....’ aku dan kak besah terus berlari menuju ke kereta. Lagu kegirangan membayangkan betapa bahagianya anak-anak apabila ditemukan dengan ibu bapanya. Secepat kilat tanganku pantas membuka pintu kereta lalu mengeluarkan roti dan kaya special  buatan sendiri serta yang utama beg baju kotor abah yang perlu dicuci. Itulah rutin aku dan kak besah. Kami lah orang yang paling gembira apabila abah balik ke rumah.

Ketika itu, sempat kuperhatikan wajah tua abah berbaur riang...tenang terasa dirinya amat diperlukan. Peluh yang bermanik dimukanya dilap perlahan-lahan menggunakan tuala tangan yang ditinggalkan oleh aruah emak. 

Abah yang bertubuh sasa, berkulit cerah persis peranakan peninggalan empayar Melaka, sesekali tersenyum memerhati tingkah anaknya berebut-rebut mengirai baju abah satu persatu. “ Tentu ada sesuatu yang dicari getus hati abah...” Senyumnya meleret puas lagak seorang lelaki yang menang juara.

Tergiang-ngiang suara anak-anaknya ketika itu, menjadi halua telinga hingga hari ini. Baju di ambil dicuci tangan, diampai dilipat apabila kering. Setiap kali baju kotor dikeluarkan dari beg maka berderailah beberapa keping duit syiling 10 sen, 20 sen, 50 sen...itulah yang aku dan kak besah rebutkan. Kadang-kadang bila abah balik kami boleh dapat RM1.50 hingga RM3.00 duit syiling yang tersorok di celah-celah lipatan seluar. Tiap poket diraba, diintai, dibelek kot-kot ada lagi syiling yang bersembunyi. Setiap kali abah balik tabungan kami berisi.

Cepat betul abah faham, rupanya abah sudah dapat membuat telahan di mana anak-anaknya berharap ada laba apabila menyelongkar beg baju miliknya. Lebihan duit-duit syiling yang tersorok dan tersimpan itu, rupa-rupanya sengaja ditaburkan oleh abah, kerana beliau terhibur memerhati gelagat dua-dua anaknya.


Indah benar pengalamian aku semasa kecil itu...aku yakin orang lain mungkin lain pengalamannya. Kegembiraan anak adalah juga kegembiraan abah. Sedikit sebanyak dapat juga mereka melupakan kesedihan kehilangan ibu di ketika usia muda. Pandai sungguh abah mengambil hati anak-anak. Lagipun masa itu...semua kain baju dicuci tangan, tiada mesin basuh dan tiada kedai dobi yang berhampiran. Satu yang pasti, kalau abah balik hari Jumaat, baju siap dicuci dan diseterika arang pada Sabtu petang. Bolehlah dimasukan ke dalam beg untuk abah bawa semula pulang ke rantauan.

Makan-minum abah terjaga rapi oleh kak long dan kak ngah. Pendek kata...abah balik bolehlah berehat melepas penat berminggu memerah keringat. Tabik sungguh aku kepada perancangan kak long, katanya “supaya abah dapat berehat panjang....kita kena sediakan keperluannya seperti mana emak dah ajar kita dulu....makannya....minumnya...pakaiannya.” Aku masih ingat kak long juga kata, “kalau abah rasa dijaga....abah tak kan lupakan kita semua sampai bila-bila.”

Tanggungjawab anak kena hormat kepada ibu bapa kerana merekalah kita lahir ke dunia....Selepas emak tiada kami dijaga oleh kak long. Kehidupan kami lebih lengkap, terkawal dan selamat apabila abah ada bersama. 

Lebih menyeronokan apabila abah turut memasak untuk kami makan, kari kepala ikan kegemaran keluarga dan sup ikan merah berencahkan butiran rempah. Masa itu, abah dah pandai masak mungkin agaknya dah terbiasa hidup membujang di perantauan. Terbayang depan mata, sesekali abah memasak....seperiuk besar sup 3 ekor ikan merah siap untuk dimakan, cukup untuk hidangan sepuluh orang. Yang selalu mengiringinya adalah sayur kangkung dan sayur peria dari kebun di tepian rumah. 



Benarlah kata kak long dan emak ’tidak rugi kita berbudi dengan tanah. Sampai masa tanaman akan menghasilkan buah dan kitalah yang mendapat anugerahnya.’ Akan kuingat pesanan kak long sampai bila-bila.

Wednesday, June 23, 2010

Rezeki Dari Laut

Abah kata...."Inilah rezeki dari laut....PadaNYA kita panjatkan syukur...yang tidak terhingga...amin....."





                              

    

Tuesday, June 22, 2010

Kukenal Pukat Dan Siput (samb)

(sambungan)

Tepat jam 2 pagi aku, kak besah, kak ngah dan kak long dibangunkan dari tidur. Anak lelaki abah masih kecil sebab itu anak perempuan menjadi sandaran. Dalam keadaan separuh jaga kami telah berada di beting pasir. Operasi hari itu adalah memerangkap udang, ikan dan sotong menggunakan pukat kecil. Sejuknya tidak terkira menggigil aku dinginnya sampai ke tulang hitam. 

Aku ingat lagi jaring itu warna hijau....petak-petak jaringnya kecil dan boleh menjadi tapis kepada apa saja yang meredahnya. Di ke dua-dua penghujung jaring itu, ada kayu dan tali sebagai pemegang. Objek yang besar tinggal terperangkap di dalamnya manakala objek yang kecil ditapis kembali lepas ke laut.

Masa yang ditunggu sudah tiba, kulihat bibir abah terkumat-kamit membaca sesuatu...doa ringkas katanya. Sebaik selesai,  abahpun menarik hujung jaringnya ke dalam air menebari teluk dalam kedudukan separuh melengkung. Ketiga kakakku juga membuat perkara yang sama. Cuma bezanya mereka menarik hujung jaringnya ke bahagian tepi beting pasir. 

Pukat digerak perlahan-lahan lebih kurang 30 minit hingga satu jam. Bayangkan berapa beting pasir dilalui....berapa telukan air diredah oleh abah demi memenuhi minat dan memperkayakan pengalamian anak-anaknya di kampungan. Itulah abah dengan kehebatan 4 anak perempuannya. Pandangan abah sentiasa positif. Baginya...anak-anak perlu diperkaya dengan pelbagai rencah kehidupan.

Suasana hening, tenang menguasai keadaan sebab abah kata bimbang ikan, udang dan ketam lari lintang pukang. Kami seronok dapat turun memijak beting pasir dan berendam dalam air di dini hari begini. 

Tidak kukenal erti takut pada masa itu. Sedangkan aku sendirian di atas beting pasir yang luas terbentang. Langit gelap tidak berbintang, Desiran bayu bersiulan panjang sekadar mengharap biasan cahaya dari air dipancar lampu yang abah bawa. Nun jauh di hujung sungai biasan lampu rumah api turut menyinari aktiviti kami. 

Dah sifat budak-budak....beting pasir dijadikan landasan untuk aku berlari ke hulu ke hilir sorang-sorang dengan raga rotan ditangan. Aku terpegun di atas beting penuh dengan rezekimu Tuhan....Pelbagai jenis siput bertaburan di beting dan diruang lumpur tempat siput itu bernafas. 

Sambil mengutip satu persatu kumasukkan ke raga yang kubawa. Masa yang sama aku bergerak menyelusuri beting sehaluan dengan pukat yang sedang ditarik oleh abah di sebelah laut yang dalamnya separas pinggang manakala kak besah, kak ngah dan kak long hanya di gigian air yang cetek separas lutut.

Dalam kepala, aku hanya terfikir...aku kena cepat menguasai pengalaman baru yang dikongsikan abah. Akur dengan tugasku membawa bakul yang lebih tinggi dari aku. Pengalamianku masa itu tak semua budak-budak dapat merasainya. Sungguh indah dan aku amat teruja.

Putera-puteriku,

Kalian tak tahu kisah silamku, sekadar maklum tentang cerita lama seorang anak desa di kampung yang terpencil. Terlalu banyak yang hendak dikongsi kepada mereka atas perbezaan hidup desa dengan kota. Sukar nak dibayangkan dengan perkataan. Yang pasti pengalaman ini tidak dapat dijual beli hatta di pasaraya ternama....

Sejam berlalu...air surut dah nak pasang...’kimpas’ semakin menuju ke pengakhirannya. Masa itulah aku yang paling tak sabar sebab jaring yang ditarik diangkat ke beting. Ikan-ikan sederhana besar, udang, sotong siput dan segala macam semuanya hasil alam kurniaan Tuhan. Boleh dimakan dijadikan hidangan menambah zat di badan. Penuh satu raga tangkapan, tekun ku kendong dibantu kak long.

Sampai di rumah adik-adik lelakiku masih lena. Kami mengurus diri dan terus menyambung semula tidur yang tadinya terhenti. Keesokan harinya, kak long bernada ceria sebab lauk siap disedia bersulam dengan hasil sayur kebun pak awang (gelaran yang diberi pada kebun yang kami usahakan sendiri. Dari pagarnya sehinggalah ke tanaman yang ada dalam kebun itu). Bekalan ikan, sotong dan udang cukup disimpan untuk hidangan kami seminggu. 

Rutin itu berterusan sebulan sekali setiap kali abah balik bercuti. Kami ternanti-nanti operasi demi operasi. Seronok bukan kepalang menjadi anak abah sama berjuang. Hingga kini minat abah tercurah pada anak-anak menjadi warisan keluarga, memupuk minat memancing di lautan luas jua di hutan belantara. 

Kukenal Pukat Dan Siput

Sepeninggalan emak....

Abah punyai hobi yang tersendiri. Menjadi agenda percutianya mengajar, melatih anak-anak mengenal kayanya hasil bumi di laut.

Tempatnya    : Di Tepi Pantai Belakang Rumah
Kawasan Laut : Selat Melaka
Pesertanya   : Anak Pertama hingga Keempat(anak perempuan). 
Kebetulan anak lelakinya masih kecil

Desiran air laut ketika itu menggamit hati siapa saja yang mendengarnya. Alunan ombak seperti itu berlaku bila air laut surut. Semuanya dapat kunikmati walau dalam keadaan samar-samar cahaya ombak menghempas pantai. 

Teratak indah abah duduknya ditepian pantai selat Melaka. Jaraknya dengan bibir laut hampir benar lebih kurang 20 meter. Damai dan tenang ketika hari-hari biasa. Sesekali laut itu mengganas juga. Walau apapun....semua kenangan tetap aku damba.

Nun di sana luas terbentang beberapa beting pasir berbalam-balam di pandang. Terbayang di ingatan bagaimana abah setiap kali percutian akan membimbing kami erti kehidupan yang hobinya adalah menjaring ketam dan mencandat sotong. 

Abah bijak menggunakan kesempatan sebagai masyarakat kampung yang tinggal berhampiran pantai. Abah memiliki koleksi sendiri pukat kecil, jaring udang dan ketam untuk diguna apabila diperlukan. Kata abah...’rugilah kalau ikan, ketam dan udang yang berkeliaran di belakang rumah tidak diambil dan dimakan.’

Aku masih ingat, bagaimana abah mengajar kami cara-cara mengenal pukat dan jaring di laut. Kak long pun tak tahu banyak tapi beliau rajin bertanya. Bila dah tahu dikongsikannya pula kepada adik-adiknya. Pada usia 12 tahun aku dah tahu cara mana:

  1. memancing ikan laut menggunakan joran,
  2. memerangkap ikan sawah di laluan padi dan parit,
  3. mencandat sotong di tepian pantai,
  4. mengumpan ketam di sarangan,
  5. menggali mata kepah dipantai berpasir dan
  6. mengenal jenis siput beting pasir dan lumpur
Semua pengalamian itu, ingin kukongsi bersama warisan kak long, adik-beradik dan mereka yang meminatinya. Yang elok dijadikan teladan manakala yang kurang elok jadikan iktibar dan pengajaran. Sebagai insan yang mengutamakan ketenangan, aku benar-benar menggemari pantun nenek moyang kita ini...

Pisang Emas Di Bawa Belayar,
Masak Sebiji Di Atas Peti,
Hutang Emas Boleh Dibayar,
Hutang Budi Dibawa Mati.

Budimu abah, kak long, kak ngah, kak besah dan semua yang terlibat dalam hidupku, akan kekal dikenang sepanjang hayat. Tak luntur dek hujan...tak lekang dek panas...Tersimpul mati di suratan abadi.
Mansuh UPSR..PMR...

Cadangan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memansuhkan peperiksaan besar ini ada sebabnya. Bak kata orang ramai di luar sana, murid kita kurang menjadi. Institusi sekolah dilihat kurang berupaya menghasilkan murid yang gemilang


Sebagai guru saya terpanggil untuk sama menghangatkan perbincangan ini supaya ada pihak yang mendapat labanya. Sekolah harian dilihat sepi menghasilkan kejayaan tambahan mereka terletak di kawasan yang perlukan sokongan. Nampaknya....dah tiba masa KPM buat penguatkuasaan membudaya kualiti dalam kehidupan warga pendidikan.






Eloklah benar jika ada piawaian Standard dijadikan tambatan selari dengan hasrat awal bekas Ketua Nazir Sekolah satu ketika dulu melalui ceramah-ceramahnya di sekolah iaitu Dato Cg Rahim. Katanya, standard itu dijangkakan dapat mengukur insan secara menyeluruh sama ada:
  1. sahsiah murid
  2. pencapaian akademik
  3. kegiatan kokurikulum murid
  4. pengurusan organisasi, mahupun
  5. kualiti P&P
Kata beliau lagi, Standard itu bisa membentuk insan yang seimbang....tidak saja melalui pencapaian akademik.Maknanya untuk membina insan KPM perlu mengutamakan pencapaian yang menyeluruh dan berdaya tahan.


Kesimpulannya-Cadangan Menteri Pelajaran itu perlu dipandang dari aspek yang lebih luas, yang tersirat dan tersurat. Peranan kitalah sebagai pendidikan...perlu mengupas apakah bentuk modal insan lepasan sekolah yang bakal dilahirkan jika tanpa menduduki dua peperiksaan tersebut.


Monday, June 21, 2010

Guru Demam Piala Dunia

GURU DEMAM PIALA DUNIA

Wow......baru sebentar tadi, Portugal menang 7-0. Memang sudah dijangka melihat aksi dan teknik yang jelas dilaksana oleh kedua negara. Yang menang bersorak gembira....yang kalah tercalar hatinya...Dalam sukan semangat kesukanan perlu ada. Masa yang sama hajat nak menang jangan dilupa. Kalau dihitungkan pertentangan dua benua ini memang dinanti. Asia gemilang dengan aksi hebat Korea Utara, Korea Selatan dan Jepun manakala Eropah semua orang tahu gelagat jaguh bola sepaknya.

Tuah guru kita dapat menyaksi piala dunia semasa cuti sekolah. Tapi sebentar tadi sudah terhenti sebab banyak tugas yang menanti. Saban malam berjaga, bimbang mengantuk di tempat kerja. Memartabat kerjaya menjadi idaman, kepadamu guru elok dihenti mainan dialog Cikgu Ramlee dalam filem melayu satu ketika dulu. 

Amat pedas sindirannya, pabila guru tertidur di dalam kelas. Banyak yang tersirat dalam ungkapan ketika murid diminta menulis “hari-hari cikgu main bola.....hari-hari cikgu main bola.”

Guru, baktimu dihitung tanpa mengira masa. Berkorban apa saja. Kalau dulu guru dikatakan umpama DIAN tapi kini guru selayaknya bagai MENTARI atau LAUTAN YANG TIDAK BERTEPI

Mai Kita Pi...Sekolah

Mai...Kita Pi Sekolah....
Hening pagi membungkam tepu. Gundah gulana jiwa murni seorang remaja kota.  Berkocak hati dek ketentuan masa...merungkai ilmu daripada yang Esa..... 
Hati melonjak ingin tahu apa berlaku dalam 2 minggu, percutian mengganti kesengsaraan guruku....berehat panjang amatlah perlu.

Gelodak jiwamu... 
Antara resah dan gembira lama tak jumpa teman serata, antara suka dan duka insan remaja sedang bercinta....

kata emak....bacalah buku...
kata ibu...dengar cakap guru...
kata mama... lupakan semua itu...
kata cikgu...aku amat setuju

Apa yang ada dalam jiwamu....wahai remaja kesayanganku....ke sekolah itu tanggungjawab kita...laksana ia dengan ketangkasanmu. Kau anak bungsu...bakal merungkai...ilmu di buku...

Ingat pesanan ibu...

anak yang baik adalah anak yang mendengar kata...
anak yang dirahmati adalah anak yang menurut tunjuk ajar ibu bapa dan guru 

Elakan dari terlibat dengan apa saja yang bawa bencana
bebaskan dirimu...
dari sosial remaja terleka....dariku untukmu doa sepanjang hayat...
moga dibekalkan rahmat dan hidayat

Untukmu Kaum Guru...
Selamat Berkhidmat, Di tanganmu ada Segalanya, Pastikan Baktimu Mencipta Keramat


Related Posts with Thumbnails