Duka di malam pengantin...
Isk...isk...isk...isk...sedih dan sayu malam itu. Teresak-esak dia menangis nak ikut Kak Long masuk ke bilik tidur. ‘Nak ikut...nak ikut...nak ikut ....rayunya pada Kak Long sambil menangis dan menarik-narik tangan baju Kak Long.
Masih segar dalam ingatan bagaimana adik bungsu ku, meronta-ronta tidak mahu dipisahkan ketika Kak Long nak masuk tidur. Amat terharu dengan apa yang dilihat di luar bilik pengantin ketika itu... Kebetulan ibu saudara sebelah abah, ada bersama. Dipimpinnya tangan adikku, ditarik ke dapur dan diserahkan aman kepada kak ngah untuk dipujuk supaya berhenti dari menangis. Suasana bungkam. Riak wajah Kak Long serba tak kena. Hilang keayuan raut pengantinnya sebentar. Dia amat serba salah. Wajahnya yang putih melepak bertukar menjadi merah padam menahan sebak.
Apa kan daya, Kak Long perlu akur pada ketentuan alam. Kak Long sudah kepunyaan orang. Malam itu malam pertama Kak Long bergelar isteri.....siang tadi baru selesai majlis pernikahan dan persandingan antara Kak Long dengan suaminya. Terlerailah sudah tanggungungjawab Kak Long sepanjang hidupnya, menjaga kami selama ini...
Sejak malam itu, adik bungsu ku tidur bersama-sama dengan adik-beradik yang lain. Mimpi dan ingauannya sepanjang malam, benar-benar meruntun hatiku. Nama Kak Long tak lekang dari bibirnya. Persekitaran malam amat mengharukan, sayu dan pilu. Sejak emak kami tiada, Kak Longlah yang paling rapat dengannya kebetulan Kak Long sentiasa berada di rumah. Sangkanya Kak Long itulah ibu kandungnya.
Hinggalah pada usia 6 tahun baru adikku tau duduk perkara sebenarnya....kak long hanya seorang kakak yang sanggup mengorbankan kebahagiaan dirinya untuk insan-insan yang disayang.
Sejarah baru kami bermula...Hidup kami berubah...Kak Long dah ada hidupnya sendiri. Segala gerak lakunya tidaklah boleh lagi sebebas dulu...memanjakan kami sehabis hati. Kami turut simpati dengan keadaan Kak Long yang sentiasa berada di persimpangan, serba salah. Banyak hati dan perasaan yang perlu dijaga. Hati...
1. suami...
2. abah...
3. ibu mertua....
4. bapa mertua...
5. ipar duai yang ramai...
6. adik-beradik...
7. saudara mara....dan banyak lagi
Bagi Kak Long....benarlah kenyataan yang pernah dibisik-bisikan ke telinganya sebelum ini....iaitu....”perkahwinan adalah satu perkongsian....juga satu pengorbanan...bukan saja dengan suami malah seluruh isi keluarganya.” Kak Long pasrah dengan ranjau hidup yang bakal dilaluinya. Likuan kehidupan yang terbentang luas di hadapannya perlu dilalui dengan tabah.
Aku tahu, nun jauh di sudut hatinya Kak Long berazam dan berjanji akan menjadi isteri yang taat pada suami dan baik pada semua yang terlibat dengannya. Itu janji Kak Long. Aku yakin semua itu mampu ditangani olehnya. Kak Long bijak, cerdas cuma peluang tidak menyebelahinya. Kak Long mampu merempuh badai rumah tangga dengan jayanya. Sesungguhnya, pada beliau ada segala-galanya termasuk ciri-ciri wanita solehah.....