Thursday, June 24, 2010

Erti Kasih Sayang Abah

Erti Kasih Sayang Abah

‘Abah...balik...abah balik...abah balik....’ aku dan kak besah terus berlari menuju ke kereta. Lagu kegirangan membayangkan betapa bahagianya anak-anak apabila ditemukan dengan ibu bapanya. Secepat kilat tanganku pantas membuka pintu kereta lalu mengeluarkan roti dan kaya special  buatan sendiri serta yang utama beg baju kotor abah yang perlu dicuci. Itulah rutin aku dan kak besah. Kami lah orang yang paling gembira apabila abah balik ke rumah.

Ketika itu, sempat kuperhatikan wajah tua abah berbaur riang...tenang terasa dirinya amat diperlukan. Peluh yang bermanik dimukanya dilap perlahan-lahan menggunakan tuala tangan yang ditinggalkan oleh aruah emak. 

Abah yang bertubuh sasa, berkulit cerah persis peranakan peninggalan empayar Melaka, sesekali tersenyum memerhati tingkah anaknya berebut-rebut mengirai baju abah satu persatu. “ Tentu ada sesuatu yang dicari getus hati abah...” Senyumnya meleret puas lagak seorang lelaki yang menang juara.

Tergiang-ngiang suara anak-anaknya ketika itu, menjadi halua telinga hingga hari ini. Baju di ambil dicuci tangan, diampai dilipat apabila kering. Setiap kali baju kotor dikeluarkan dari beg maka berderailah beberapa keping duit syiling 10 sen, 20 sen, 50 sen...itulah yang aku dan kak besah rebutkan. Kadang-kadang bila abah balik kami boleh dapat RM1.50 hingga RM3.00 duit syiling yang tersorok di celah-celah lipatan seluar. Tiap poket diraba, diintai, dibelek kot-kot ada lagi syiling yang bersembunyi. Setiap kali abah balik tabungan kami berisi.

Cepat betul abah faham, rupanya abah sudah dapat membuat telahan di mana anak-anaknya berharap ada laba apabila menyelongkar beg baju miliknya. Lebihan duit-duit syiling yang tersorok dan tersimpan itu, rupa-rupanya sengaja ditaburkan oleh abah, kerana beliau terhibur memerhati gelagat dua-dua anaknya.


Indah benar pengalamian aku semasa kecil itu...aku yakin orang lain mungkin lain pengalamannya. Kegembiraan anak adalah juga kegembiraan abah. Sedikit sebanyak dapat juga mereka melupakan kesedihan kehilangan ibu di ketika usia muda. Pandai sungguh abah mengambil hati anak-anak. Lagipun masa itu...semua kain baju dicuci tangan, tiada mesin basuh dan tiada kedai dobi yang berhampiran. Satu yang pasti, kalau abah balik hari Jumaat, baju siap dicuci dan diseterika arang pada Sabtu petang. Bolehlah dimasukan ke dalam beg untuk abah bawa semula pulang ke rantauan.

Makan-minum abah terjaga rapi oleh kak long dan kak ngah. Pendek kata...abah balik bolehlah berehat melepas penat berminggu memerah keringat. Tabik sungguh aku kepada perancangan kak long, katanya “supaya abah dapat berehat panjang....kita kena sediakan keperluannya seperti mana emak dah ajar kita dulu....makannya....minumnya...pakaiannya.” Aku masih ingat kak long juga kata, “kalau abah rasa dijaga....abah tak kan lupakan kita semua sampai bila-bila.”

Tanggungjawab anak kena hormat kepada ibu bapa kerana merekalah kita lahir ke dunia....Selepas emak tiada kami dijaga oleh kak long. Kehidupan kami lebih lengkap, terkawal dan selamat apabila abah ada bersama. 

Lebih menyeronokan apabila abah turut memasak untuk kami makan, kari kepala ikan kegemaran keluarga dan sup ikan merah berencahkan butiran rempah. Masa itu, abah dah pandai masak mungkin agaknya dah terbiasa hidup membujang di perantauan. Terbayang depan mata, sesekali abah memasak....seperiuk besar sup 3 ekor ikan merah siap untuk dimakan, cukup untuk hidangan sepuluh orang. Yang selalu mengiringinya adalah sayur kangkung dan sayur peria dari kebun di tepian rumah. 



Benarlah kata kak long dan emak ’tidak rugi kita berbudi dengan tanah. Sampai masa tanaman akan menghasilkan buah dan kitalah yang mendapat anugerahnya.’ Akan kuingat pesanan kak long sampai bila-bila.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails