(sambungan)
Tepat jam 2 pagi aku, kak besah, kak ngah dan kak long dibangunkan dari tidur. Anak lelaki abah masih kecil sebab itu anak perempuan menjadi sandaran. Dalam keadaan separuh jaga kami telah berada di beting pasir. Operasi hari itu adalah memerangkap udang, ikan dan sotong menggunakan pukat kecil. Sejuknya tidak terkira menggigil aku dinginnya sampai ke tulang hitam.
Aku ingat lagi jaring itu warna hijau....petak-petak jaringnya kecil dan boleh menjadi tapis kepada apa saja yang meredahnya. Di ke dua-dua penghujung jaring itu, ada kayu dan tali sebagai pemegang. Objek yang besar tinggal terperangkap di dalamnya manakala objek yang kecil ditapis kembali lepas ke laut.
Masa yang ditunggu sudah tiba, kulihat bibir abah terkumat-kamit membaca sesuatu...doa ringkas katanya. Sebaik selesai, abahpun menarik hujung jaringnya ke dalam air menebari teluk dalam kedudukan separuh melengkung. Ketiga kakakku juga membuat perkara yang sama. Cuma bezanya mereka menarik hujung jaringnya ke bahagian tepi beting pasir.
Pukat digerak perlahan-lahan lebih kurang 30 minit hingga satu jam. Bayangkan berapa beting pasir dilalui....berapa telukan air diredah oleh abah demi memenuhi minat dan memperkayakan pengalamian anak-anaknya di kampungan. Itulah abah dengan kehebatan 4 anak perempuannya. Pandangan abah sentiasa positif. Baginya...anak-anak perlu diperkaya dengan pelbagai rencah kehidupan.
Suasana hening, tenang menguasai keadaan sebab abah kata bimbang ikan, udang dan ketam lari lintang pukang. Kami seronok dapat turun memijak beting pasir dan berendam dalam air di dini hari begini.
Tidak kukenal erti takut pada masa itu. Sedangkan aku sendirian di atas beting pasir yang luas terbentang. Langit gelap tidak berbintang, Desiran bayu bersiulan panjang sekadar mengharap biasan cahaya dari air dipancar lampu yang abah bawa. Nun jauh di hujung sungai biasan lampu rumah api turut menyinari aktiviti kami.
Dah sifat budak-budak....beting pasir dijadikan landasan untuk aku berlari ke hulu ke hilir sorang-sorang dengan raga rotan ditangan. Aku terpegun di atas beting penuh dengan rezekimu Tuhan....Pelbagai jenis siput bertaburan di beting dan diruang lumpur tempat siput itu bernafas.
Sambil mengutip satu persatu kumasukkan ke raga yang kubawa. Masa yang sama aku bergerak menyelusuri beting sehaluan dengan pukat yang sedang ditarik oleh abah di sebelah laut yang dalamnya separas pinggang manakala kak besah, kak ngah dan kak long hanya di gigian air yang cetek separas lutut.
Dalam kepala, aku hanya terfikir...aku kena cepat menguasai pengalaman baru yang dikongsikan abah. Akur dengan tugasku membawa bakul yang lebih tinggi dari aku. Pengalamianku masa itu tak semua budak-budak dapat merasainya. Sungguh indah dan aku amat teruja.
Putera-puteriku,
Kalian tak tahu kisah silamku, sekadar maklum tentang cerita lama seorang anak desa di kampung yang terpencil. Terlalu banyak yang hendak dikongsi kepada mereka atas perbezaan hidup desa dengan kota. Sukar nak dibayangkan dengan perkataan. Yang pasti pengalaman ini tidak dapat dijual beli hatta di pasaraya ternama....
Sejam berlalu...air surut dah nak pasang...’kimpas’ semakin menuju ke pengakhirannya. Masa itulah aku yang paling tak sabar sebab jaring yang ditarik diangkat ke beting. Ikan-ikan sederhana besar, udang, sotong siput dan segala macam semuanya hasil alam kurniaan Tuhan. Boleh dimakan dijadikan hidangan menambah zat di badan. Penuh satu raga tangkapan, tekun ku kendong dibantu kak long.
Sampai di rumah adik-adik lelakiku masih lena. Kami mengurus diri dan terus menyambung semula tidur yang tadinya terhenti. Keesokan harinya, kak long bernada ceria sebab lauk siap disedia bersulam dengan hasil sayur kebun pak awang (gelaran yang diberi pada kebun yang kami usahakan sendiri. Dari pagarnya sehinggalah ke tanaman yang ada dalam kebun itu). Bekalan ikan, sotong dan udang cukup disimpan untuk hidangan kami seminggu.
Rutin itu berterusan sebulan sekali setiap kali abah balik bercuti. Kami ternanti-nanti operasi demi operasi. Seronok bukan kepalang menjadi anak abah sama berjuang. Hingga kini minat abah tercurah pada anak-anak menjadi warisan keluarga, memupuk minat memancing di lautan luas jua di hutan belantara.
No comments:
Post a Comment