Friday, June 18, 2010

Kak Ijot Dalam Kenangan Siri 1


Pengorbanan Kak Long Bermula....


'Ambil la galah tu....cepat sikit nanti mak sedih kalau kita tak ada dekat dia......... kesihan kat mak....cepatlaaah',


rungut kak long sambil tergesa-gesa memungut buah yang gugur dek jatuhan galah yang panjangnya melebihi 7 meter itu. Segar dan bermain di ingatanku peristiwa sibuk menjolok buah jambu air di pokok dengan kekalutan emak kami yang akan melahirkan zuriatnya bersama abah iaitu anak yang ke sembilan.

Sebagai gadis sunti yang tinggal di hujung kampung kak long turut sama bermain dengan adik-adik tanpa mengasingkan dirinya. Mungkin itulah antara cara beliau merapatkan hubungan dan keakraban hidup bersaudara di kampung yang serba kekurangan. Kak long sedar beliau tinggal di kampung yang serba kekurangan yang mana kebanyakan kawan-kawannya masa itu menamatkan sekolah pada usia awal. Amat kurang yang meneruskan pelajaran ke sekolah menengah.

Kak long amat bercita-cita, memandang jauh ke depan dan penuh perancangan dalam menentukan masa depan keluarganya....kak long adalah perancang yang berjaya dan pengumpul tradisi keluarga.... Syabas dan tahniah pada kak long...semoga waris keturunan dan insan-insan yang rapat dengan kak long bangga sebab memiliki insan sebegini...

Dalam kekalutan itu akhirnya emak selamat melahirkan anak lelaki...tapi malangnya beberapa bulan selepas kelahiran tersebut, pada usia 36 tahun, emak meninggalkan kami dengan bayi yang masih kecil yang kami namakan Aman. Tidak pula kami arif tentang sebab-musabab kembalinya beliau tapi yang pasti...kesan dan implikasi selepas kelahiran tersebut....mulai detik itu, tinggal lah adik lelaki tadi dengan kami adik-beradik di bawah perhatian bapaku yang kami semua panggil abah. Abah berdarah kacukan katanya....berasal dari kedah....emak pula...kacukan juga....asalnya...akupun tidak pasti...

Sebagai anak yang tua, kak long tahu itu semua adalah tanggungjawabnya. Demi keluarga kepintaran yang ada pada diri terpaksa dilupakan dahulu. Sekolah ditinggalkan untuk menghambakan diri kepada institusi sekolah yang lebih besar ertinya pada beliau iaitu institusi keluarga abah yang memerlukan pengorbanan. Abah terus mencari rezeki di perantauan balik setiap 2 minggu membawa wang saraan keluarga. Terima kasih abah...sebab terus mengorbankan diri untuk kami tinggalan emak isteri kesayangan abah.

Seingat aku....abah kami ni, anak bungsu dalam keluarganya. Manja dan banyak yang abah tak tahu buat sendiri. Al maklum orang lelaki zaman dahulu. Pun begitu abah mempunyai hati yang amat tenang, jujur, telus dan sayangkan keluarganya.....Tak kira apa orang kata....abahku tetap dengan prinsipnya....anak-anak anugerah Tuhan yang perlu dijaga dan tidak boleh di biarkan kerana mereka ada jiwa...dan mereka ada perasaan.

Kami tahu abah menderita dan dalam kesunyian. Sedih tapi apakan daya.....kami juga sama macam abah. Yang kami terdaya lakukan hanyalah melaksanakan tanggungjawab sebagai anak-anak yang menjaga makan, minum dan pakaian abah. Makan minum abah dijaga rapi oleh kak long, kak ngah dan kak besah. Walaupun masih kecil tetapi kami semua telah dilatih taat pada orang tua...

Aku sendiri masih ingat....ketika aku belajar memasak dulu umurku 15 tahun, tingkatan 3, dah lambat tapi kak long kata tak mengapa...lebih baik lambat dari tak memasak langsung. Hidangan pertama yang aku masak untuk keluarga aku ketika itu adalah sedulang hidangan yang terkandung menunya....

  • nasi putih;
  • ikan kembong masak lemak campur kancang panjang;
  • ikan gelama kering digoreng;
  • sambal belacan ikan bakar
  • air kosong

Aku ingat sampai bila-bila. Abah kata....aku dah boleh masak....aku dah pandai memasak. Sukanya aku tidak terhingga mendapat pujian dari lelaki yang dipanggil abah...Pendek kata makan minum abah kami jaga. Semuanya itu adalah didikan emak dan kak long anak abah yang bertanggungjawab. Mana tidaknya inilah antara rutin harian kak long setelah ia meninggalkan alam persekolahan....

  • minum pagi tersedia se awal jam 7.00 pagi (menunya berkait dengan hasil kebun kami);
  • kain baju siap berlipat sebaik sahaja kering di ampaian;
  • makan tengahari siap terhidang dalam dulang peninggalan emak;
  • makan malam siap dipanas biasanya ulangan hidangan siang
  • minum petang sekadar ada...kebiasaannya teh bujang (serbuk bukan uncang);
  • minum malam...ready secawan atau setekoh kopi panas dengan biskut bulat kegemaran abah


Sepanjang hidup bujang, abah tinggal bersama-sama kami 9 beradik...kami bergilir-gilir melaksanakan tanggungjawab memerhati dan memelihara abah yang amat berjasa. Bagi yang jauh, kak long pesan masa cuti atau cuti sekolah, balik-baliklah jenguk abah. Orang tua...merindu kita...orang tua....tak minta dan tak bercakap suruh kita balik. Kita sendirilah yang kena tahu tanggungjawab masing-masing....Aku ingat pesan itu.. begitu juga dengan adik-beradik aku....bila musim cuti sekolah....kami pun balik ke kampung mengambil tanggungjawab kak long....beri masa kak long rehat pula....

Kami bersyukur dapat melaksanakan tanggungjawab dengan penuh ehsan....kerana kami berpegang pada kata-kata kak long masa itu......kalau ibubapa boleh menjaga sembilan anak...tak kanlah sembilan anak tidak mampu memelihara seorang bapa....

Dalam usia 15 tahun amat kurang pengetahuan kekeluargaan yang ada pada kak long. Walau bagaimanapun kak long tidak jemu mencuba sambil dibantu oleh emak saudara sebelah abah yang perihatin dengan keadaan itu. Kepada kakak=kakak abah...untukmu ku ucapkan....

  • Terima kasih mak itam patte',
  • Terima kasih mak long nor kuala;
  • Terima kasih nenek alang kerana turut menemankan kami bila tiba malam hari

Terima kasih abah kerana tidak beri kami emak baru....itulah yang kami fikirkan. Seringkali keluarga dan kawan-kawan abah mencarikan abah isteri baru tetapi ditolak dengan baik oleh abah dengan satu alasan iaitu ....abah tidak mahu bila abah kahwin baru...anak-anak akan bertabur, bersepah dek serba salah abah antara anak dan isteri baru. Abah mengambil keputusan...tidak berkahwin lagi sehinggalah abah menghembuskan nafas yang terakhir.....di usia 69 tahun. Hingga kini ingatan kami segar apabila mengingatmu. Moga Allah menempatkan rohmu di syurga...amin.

Terima kasih kak long....kami akan ingat apa yang kita pernah buat bersama dan semoga tanggungjawab itu kami kongsikan pula kepada anak-anak kami yang ada. Keranamu kak long, tanggungjawabku terpahat seawal usia muda. Merencana waktu dan ketika untuk menambat erti kejayaan untuk hidup seperti insan-insan lain yang berjaya. Kini semuanya telah kutemui...berkat didikan insan berhati mulia...sanggup mengorbankan kebahagian diri untuk demi insan-insan lain yang disayangi.





No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails