Tuesday, July 13, 2010

Hati terganggu dek kesukaran teman

Hajat hati untuk menyambung cerita kak besah tapi kutangguhkan  dek sebak perasaan mengenangkan nasib seorang teman. Rumahtangganya sedang di alam penceraian. 

Antara nyata dengan tidak, ataukah mimpi indah di siang hari, kerna semuanya tidak disangkakan. Petang tadi, aku dikhabarkan dengan derita jiwa yang ditanggung oleh isteri yang dimadukan. Kepada aku tempat mengadu, satu-persatu penuh sayu.

Terngiang-ngiang di gendang telingaku bagaimana keluhan dan hembus nafasnya. Tinggi rendah menahan sebak seorang isteri, ibu dan teman yang sudah 27 tahun seiring jalan bersama suaminya melayan perasaan. 

Sampai hati rupanya, seorang lelaki yang bergelar suami menjalin cinta pertama bekas kasih yang ditinggalkan. Tanpa nafkah, anak isteri dibiar bertaburan. Ke pejabat agama tempat mengadu, malangnya isteri semakin buntu. Kaum ku jua yang dikatakan menjadi punca kepada semua persoalan.

Ditinggalkan berbula-bulan tanpa nafkah seurat benang. Masihkah dipandang tiada pensabitan ke atas suami yang sedemikian. Benarlah, kuasa keramat itu di tangan suami, tapi usahlah diseksa kaum kami begini....Tunjukilah kami apakah cara penyelesaian yang ada di pejabat yang bersangkutan.

Terpanggil aku mencoret sengsara tanpa izinnya, sang isteri bermadu jua. Tiga tahun ditipu suami, ke rumah membantu emaknya alasan diberi. Jujurnya isteri terjumpa bukti, rahsia terbongkar hancurlah mati. Berkecai hatinya bak kaca terhempas ke batu. Kini, hatinya pasrah, sabar menunggu mahligai indahnya tersembam menyembah bumi...

Kapada temanku, 
Tingkatkan sabarmu, kepadaNYA tempat mengadu....Aminnnn.

2 comments:

  1. Salam CJ,
    Kepada rakan cj ..harap bersabar. Semoga mendapat pembelaan yg sewajarnya..

    Kenapa terjadinya perkara sebegini? Tempoh bersama yg lama tidak menjamin berkekalnya sebuah ikatan. Masa bercinta semuanya indah. Segala keburukan pasangan walaupun disedari namun dipejam sebelah mata dgn harapan bila bersatu semuanya berubah.

    Namun langit x selalunya cerah. Bukan kia yang merancang...bukan kita pengarah bagi satu drama tv ... Bukan masanya mencari siapa benar siapa salah ..tapi pengajarannya bagaimana kita belajar dari sesuatu musibah itu. Harapnya tidak berulang kepada kita atau sesiapa
    sahaja.

    Hubungan suami isteri sepatutnya indah lagi suci. Memang benar anak pengikat kasih..penyambung zuriat ..namun terkadang di sebalik kesibukan kerenah anak..si suami pula rasa terpinggir. Bukan hendak dibelai dimanja ..cuma mungkin sedikit perhatian. Biar semakin lama sesuatu ikatan semakin kuat 'auranya'.

    Apa pun CJ..saya cuma beri pandangan..tidak bermaksud apa-apa..jauh sekali mengkritik sesiapa. Semoga yg baik kita kongsi bersama. Wassalam.

    ReplyDelete
  2. Salam arzone,

    Terlerai sebuah ikatan mungkin ada banyak sebabnya. Yang sering kita dengar adalah campur tangan orang ke 3. dalam soal kawan saya ini, malang nasibnya kerna mertua mencarikan menantu baru buat anaknya. macam tak percaya tapi itulah realitinya.

    Titik puncanya adalah tidak sekufu, pendapatan dan pemikiran. tidor sebantal tapi mimpi lain-lain. kurang bijak sebelah pihak menyebabkan mahligai indah teman digugat. Sedih melihat kawanku bangun dalam kepayahan.

    Rasa terpinggir adalah perasaan yang boleh dikawal oleh manusia. bersama memupuk cinta. bersama membuai rasa. kedua-duanya kena dicari, tidak hanya menanti. sesekali kaum adam, kenalah letak diri di tempat isteri...apa rasanya..apa cabaran yang mereka ada...moga kawanku mendapat sedikit kekuatan dari pandangan kawan-kawan.

    ReplyDelete

Related Posts with Thumbnails