Sunday, July 11, 2010

Tak Guna Kuku Kambing

Guna tangan sendiri untuk menanam padi. Mula-mula pandang orang dewasa buat, lama-lama layan sendirilah..
Masih jelas diingatan sekitar tahun 1970an kebanyakan remaja di kampungku tidak meneruskan persekolahan ke peringkat menengah. Pembelajaran mereka terhenti apabila menjangkau umur belasan tahun, terutama remaja perempuan. Situasi ini berbeza dengan kak ngah dan kami adik beradik. Kami tetap ke sekolah menengah walau dalam keadaan payah. Itulah semangat yang kak long dah tanamkan.

Ibu bapa masa itu agak sukar untuk membelanjakan wang menghantar anak-anak belajar kecuali mereka yang terpelajar. Nak kata kampung aku masa itu mundur, tidak juga sebab semuanya lengkap ada sekolah rendah, ada sekolah menengah (walaupun berkongsi bangunan), ada pekan, ada kedai-kedai, ada pejabat pos, ada panggung wayang, ada kilang beras, ada balai polis...bak kata orang, semua kemudahan asas ada di situ. 

Padaku, mungkin kesedaran mereka tentang kepentingan dalam pelajaran yang kurang. Ibarat menentang arus usaha kak long menggalakkan adik-adiknya bersekolah. Sudah tentulah pelbagai tohmahan dan cercaan yang diterima. Apa tidaknya...teruk kami semua, disalah angggap dan difitnah dek orang kampung apabila dikatakan bebas pergi balik ke sekolah. Yang paling banyak kena adalah kak ngah, sebab kami yang lain kecil-kecil lagi.
Semua aktiviti dan pergerakan kami, mendapat izin dari kak long. Kak long tahu ke mana kami pergi. Tak de yang menyimpang tak tentu tujuan. Sebab itulah, kak long tidak risau untuk terus mempertahankan adik-adiknya. Cuma kak long sedikit sayu apabila mengingat kembali bagaimana kak ngah cuba mencari wang saku sendiri, disebabkan abah turut termakan cakap orang-orang kampung yang tak setuju anaknya bersekolah. Segagah-gagah abah, cair juga dengan situasi masa itu. Mungkin abah ada alasan tersendiri bertindak begitu agaknya.  

Demi semangat inginkan kejayaan, kak ngah usaha cari duit sendiri, mengambil upah menggubah anak padi ke sawah. Padi ditanam satu persatu menggunakan tangannya sendiri. Seingat akulah, dalam buku -buku dulu, ada dikatakan menanam padi di Kedah menggunakan kuku kambing, tapi kuku kambingpun kami tak kenal, yang kami kenal ialah tanam padi menggunakan kuku sendiri (maksudnya tanggan sendirilah).

Biasanya kak ngah mengambil upah sebelah pagi sebab kak ngah bersekolah petang tambahan pula kelas menengah sekadar menumpang di bangunan sekolah rendah. Sekali padi ditanam mengambil masa antara 1-2 jam. Terbongkok-bongkok memasukkan sejemput anak-anak padi ke dalam lumpur yang berair. Seronok juga kata kak ngah  sebab dia dah boleh berdikari sedari kecil lagi. 

Habis menanam, dilihat kaki penuh bersalut dengan lumpur dan kadang-kadang ada juga lintah-lintah yang menumpang menghisap darah di kaki. Selesai menanam upahpun diberi. nilai sekali jalan adalah antara 30 sen hingga 60 sen bergantung pada murah hati tuan tanah dan keadaan masa itu. Beberapa bulan juga kak ngah mengambil upah begitu. Sehinggalah abah tersedar yang tindakan abah tu kurang tepat sebab masyarakat sekeliling sebenarnya iri hati dengan kak ngah masa itu. Kini semuanya telah berlalu...


Tiba masanya kak ngah menerima tawaran bekerja sebagai juruterengkas di salah sebuah kementerian di Kuala Lumpur. Wah, kak ngahlah anak kampung pertama menjejakan kaki dengan jawatan itu di sana. Bangganya kak long bukan kepalang, masatu kak long sudahpun berkahwin maka tinggallah adik-adik bersama kak besah. Kami membesarkan adik-adik secara bergilir-gilir, tangan ke tangan dan itulah sebabnya hubungan kami rapat sehingga ke hari ini.

Teringat masatu, apabila kak ngah mendapat kerja di bandar, ada di antara kawan-kawannya terkilan sebab tidak mengambil langkah yang sama seperti kak ngah. Itulah dia, benarlah kata pepatah lama, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Untuk masa depan yang gemilang, kak ngah dengan sokongan kak long sanggup menghadapi semua dugaan dan cabaran. Bebas yang disebut-sebut itu sebenarnya semata-mata kami keluar rumah nak pergi belajar:
  1. ke kelas bimbingan yang diadakan oleh cikgu waktu malam,
  2. ke kelas menaip sebaik saja habis peperiksaan awam,
  3. ke kelas terengkas melatih kemahiran menulis cepat,
  4. ke kelas penulisan menjadi wartawan di Tanjung Bidara.
  5. Yang malangnya semua kelas-kelas itu tiada di pekan Kuala, cuma ada ditawarkan di Masjid Tanah 20 km dari rumah.
Bagi kak long, semua itu perlu dihadapi dan tidak menjadi halangan baginya. Sementara beliau ada di rumah itu, adik-adik boleh terus bebas belajar. Kak long mahu adik-adiknya celik mata dan dapat ilmu dari sekolah. Itu sahaja caranya yang kak long nampak jika seseorang nak ubah kehidupan. Melalui pendidikan semuanya boleh diatasi.
Kak ngah bersama Ina puterinya dan saudara mara
Kak ngah bersama menantunya murni dan iman
Kak ngah dan suaminya pak ngah dollah


Kini kak ngah bahagia dan gembira bersama-sama keluarganya. Rezekinya melimpah ruah dek baik hatinya membantu adik-adik dari segi kewangan.


Untukmu kak ngah....

Terima kasih kak ngah. Terima kasih bang ngah. Hari ini semuanya telah dibalas oleh Allah. Moga Allah sejahtera dan panjangkanlah umur kak ngah zaharah, suaminya pak ngah dollah, anaknya along fazly dan isterinya murni, kak ina bersama suaminya syahir, anak-anaknya daus, ayud, faiz dan faadhil. Tidak ketinggalan cucu-cucunya zetty, iman dan raihan. Amin....

2 comments:

  1. saya terharu dengan pengorbanan dan usaha gigih seorang kakak yang sebegitu rupa dalam mambantu diri dan keluarga.

    ReplyDelete
  2. tqvm izman. itulah hukumnya alam. yang berusaha, yang lurus jalannya sering terkena. Hanya DIA penentu segala. Berkat akhirnya tiba bersama laba.

    ReplyDelete

Related Posts with Thumbnails