Saturday, July 10, 2010

Teringat Kampung


Tersedar dari mimpi, aku bingkas bangun menuju ke dapur. Tercari-cari sesuatu buat bekal ke bilik semula. Dalam laluanku di sana mata tertumpu pada akuarium tempat ikan-ikan peliharaanku ditempatkan. Ingatan tiba-tiba jauh melayang dari mana kudapatkan anak ikan itu. Bercampur-campur tapi ikan-ikan ini boleh tinggal bersama. Asalnya bimbang juga kalau-kalau ikan-ikan itu bercakaran...rupanya tidak. Hidup aman walau telah 7 bulan tinggal setempat.


Ada sekumpulan ikan silver shark, ada 7 ekor angle fish, ada 5 ekor ikan puyu (aku panggil ikan betuk masa di kampung) dan ada 3 ekor ikan bandaraya yang bertanggungjawab penuh...membersih dan mencuci kotoran dalam akuarium itu.

Kuperhatikan 5 ekor ikan puyu itu, hati berkata-kata...'dah besar dah ikan ini rupanya, sihat, cergas dan bersih badannya' Aku masih ingat ikan ini adalah pemberian kak long, 13 hari sebelum kak long menghembuskan nafas yang terakhir'. Semuanya bermula apabila pada 2 Januari 2010 aku kembali ke kampung setelah sebulan bergelumang dengan kerja.

Panggilan dan gerakan hati pagi 2 Januari 2010 itu menyebabkan aku dan keluarga bergegas balik ke kampung untuk berjumpa dengan kak long. Kata kak ngah kak long demam....demam air kata orang kampung.


Seperti biasa bila sampai di sana...kak long kelihatan ceria sihat walafiat. Cuma kak long tidaklah menyambut aku di kereta seperti hari-hari yang lain. Masa berlalu. Hari itu kami berbual panjang, sempat lagi kak long membariskan pesanan-pesanan dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. 

  • jiran sebelah nak kahwinkan anak....
  • jabbar si kambing import dah beranak....
  • kereta adik bungsu ...rosak..baru dibetulkan..
  • cukai tanah kebun sudahpun selesai dibayar... 
  • bot laut adik yang rosak telah digantikan oleh bank...
  • rumah pusaka telah dibaiki...dipagarkan supaya mudah diurus
  • anak kakak di melaka nak bertunang sekian haribulan....
  • anak kakak yang di kampung pula nak kahwin...
  • tanpa henti kak long mengupdatekan data dan maklumat padaku


Terasa diri ini diperlukan dalam keluarga....Itulah sikap kak long yang sebenarnya....Semua orang penting dalam hidupnya....

satu demi satu makluman diberi sehingga aku tak tertinggal satupun cerita mengenai kampung...Masih kuingat beberapa jam aku di kampung dijemputnyalah adik-beradik yang di kampung tentang adanya aku di rumahnya. Seorang demi seorang datang berkunjung, bersalam dan bertanya khabar. Rasa macam lama sangat tidak berjumpa sedangkan setiap bulan aku pasti ada cara untuk bertemu mereka...

Jam 6 petang aku perlu kembali semula ke kota. Selepas minum petang di koridor laman menghadap kebun, tiba-tiba kak long meminta suaminya bang haron membekalkan aku dengan 5 ekor anak-anak ikan betuk yang baru diambil dari kolam dan parit di belakang rumahnya. Asalnya aku tak mahu sebab tak tahu mana lagi nak diletakan. Nak dicampurkan ke dalam kolam ikan koi memanglah tak sesuai. Maka aku dengan baik menolak tak mahu ikan itu. Tapi kak Long bersungguh-sungguh meminta aku mengambilnya...

Supaya kak long tidak kecil hati...akupun menerimanya ikut sajalah kehendaknya itu kebetulan anak bungsuku syadid amat gemarkan binatang. Itulah 5 ekor ikan puyu yang ada di rumahku sekarang. 


Ikan ini membawa fikiranku melayang mengingat peristiwa beberapa jam aku di kampung. Hari itu, walaupun hanya sekejab aku di kampung tapi aku sempat menyediakan hidangan tengahari dibantu oleh anak saudaraku zizah dan zam. Selesai makan dengan berseleranya, sempat juga aku hadiahkan kepada kak long Quran Digital milikku yang amat kusayang serta sepasang kain telekung yang baru aku beli di kelantan. 


Diterimanya dengan hati yang riang...quran dibuka berulang-ulang, teknologi moden bukanlah penghalang. Tangan disalam eratnya pegang, peluk cium tak kurang kakakku sayang. Berat sungguh hatiku nak pulang, tidak dapat dibayangkan dengan perkataan. Begitulah juga dengan kak long tanpa sedar tangan dihulur bersalam-salam, kusambut jua walaupun berulang. Meluncurlah kami meninggalkan kak long dengan hati yang penuh walang. 

9 comments:

  1. salam
    mekasih krn follow blog saya, Melaka kat mane ek?

    ReplyDelete
  2. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  3. melaka kat ksb. sama berjuang untuk mencemerlangkan bangsa tercinta. esp orang melaka

    ReplyDelete
  4. Salam Cikgu Jay
    Imbauan balik kg itu terasa sungguh menusuk... Alangkah terkilannya hati jika pemberian betuk-betuk tidak diterima! Jelaslah dia mahu Cikgu tolong menjaganya. Alangkah bahagianya hati, sempat pula menghadiahkannya Quran digital & telekung baru. Syukurlah kita kepada-Nya kerana menjadikan berlakunya sesuatu yg tidak menyebabkan kekesalan di hati.

    ReplyDelete
  5. yaa...temuk. bersyukur betul saya digerakkan olehNYA begitu. kalaulaa tidak....macamana agaknya kesalnya saya...sama-sama kita ambil ikhtibarnya.tqvm sbb layaaan ceritani.

    ReplyDelete
  6. Salam CJ,
    Terusik kalbu membaca cerita CJ. Bahasa penulisan CJ amat santai..seakan membaca novel w/pun sebenarnya itulah antara liku hidup CJ.

    Apa pun setiap makhluk akan kembali pada Penciptanya. Yg tinggal kenangan pahit manis bersama...jgn lupa sedekah fatihah lepas solat.

    Sihat puyu/betuk dalam gambar tu. Saya terperasan ada garisan putih pada kaca akuarium tu. Rasanya itu kesan klorin dlm air. Cuba CJ gosokkan kesan tu dengan cuka..insyaallah hilang.

    ReplyDelete
  7. Tqvm arzone...
    ulasan dan komen menggerak minda untuk terus bekarya. terasa hidup suasananya. baru kenal ini tempatnya mencurah rasa. akan banyak belajar dari bloggers yang mahir dan pakar like arzone. makasih banyak2 atas pesanan & ingatan...

    ReplyDelete
  8. Jgn le gitu CJ..saya newbie..greenhorn...CJ yg blogger pakar...dan saya yang akan banyak belajar dari CJ. He he.

    ReplyDelete
  9. ok sama-sama kita berblog cara yang sihat ye. masa yang sama. agenda negara menjadi matlamat akhirnya. Jom kita bangunkan mereka...setakat yang kita terdaya...

    ReplyDelete

Related Posts with Thumbnails