Monday, July 12, 2010

Tersurat Satu Kehidupan

'kak besah pun suka ayam, sama macam kak long...
katanya, ayam-ayam itu...buat dia rasa terhibur'
Kak besah anak ke 3. Tinggi lampai panjang orangnya. Berkahwin dengan jejaka dari Selayang Selangor. Sejak berkahwin amatlah tekun beliau dengan tugasnya sebagai isteri. Akur dan patuh kepada mertua yang serumah dengannya. Ditakdirkan rezekinya tiba mendapat tawaran berkerja beberapa tahun selepas mendapat anak ke 4. Anak ke 5 nya lahir beberapa tahun kemudian.

Dijadikan cerita, satu hari bernama ahad malang datang tanpa diundang. Secantik hari yang tenang dan seredup perasaan,  isterinya dimaklumi hendak bertandang ke kebun. Alangkah terkilan nasibnya badan...beberapa jam kemudian...hadirnya kawan membawa jasad suami yang malang. Suaminya meninggal dunia dek serangan jantung yang tak pernah dikhabarkan. Terkilan kak besah tidaklah keruan.

Ke balai polis aku membuat laporan, post motem sebab prosedur alam, ke hospital didatangi siang ke malam hinggalah selesai proses kesudahan. Keesokan harinya, jasad suaminya disemadi di tempat lahirnya lagi dikenang. Tinggallah kak besah dengan lima anak penyambung kasih dan sayang. Masing-masing masih belajar di sekolah menengah dan di menara gading. Sedihnya hati bukan kepalang tiada pesan yang sempat dibekalkan cuma gurauan sekadar ingatan seminggu sebelum suami berpergian bersantai sakan.

Kita hanya merancang, Tuhan lah yang menentukan. TakdirNYA tak dapat dielak berserah bertawakal tuntutan amalan. Tinggallah kak besah bersama anaknya, sikecil tinggalan suami sebagai kenangan. 

Kepada saudara tempat mengadu kerna anak-anak belum boleh membantu. Menjelang usia si kecil 5 tahun, hilang sudah tempat bergantung. Selepas kejadian, kami bergilir-gilir mengunjungi beliau, menyuntik semangat yang hilang. Bermula dengan kak long, kak ngah, aku, pak teh, pak itam, mak uda, acik dan busu. Nasib baik kami ada adik-beradik yang ramai...Lebih terasa sebab kakakku ini terhad kepandaiannya. Sejak beliau berkahwin hidupnya banyak bergantung pada suami dan tak banyak yang dilakukan sendiri. Bila begini terkedu benar rasanya... 

Sebagai adik, aku terpanggil berkongsi kesedihan. Segala kesusahan menghiris perasaan. Masihku ingat awal-awal kejadian rutinku kekal berpanjangan, ke rumahnya melihat perkembangan. Setiap minggu apa saja yang boleh dibantu. Orang kata, jadi perempuanni susah...semua kena minta izin, nak bantu saudarapun kena izin juga almaklum redha kita terletak padanya. Walaupun aku bekerja dan punyai pendapatan sendiri tetapi, mendapat izin dari suami itu menjadi satu kemestian.

Bagi mengurus hidupnya, kak besah dibantu berdikari sehingga memiliki lesen memandu membawa kereta ke tempat kerja. Malangnya, keadaan ini tidak kekal lama kerana setahun kemudian, kak besah hilang keupayaan kerana terlibat dengan kemalangan selepas balik dari kerja. Yang menyedihkan, kemalangan itu bukannya berpunca dari membawa kereta tetapi berpunca dari rutinnya menunggang motosikal di kawasan perumahannya semasa mengambil anak dari rumah jiran. Malang tidak berbau....

Hari dijanji sudah disuratkan kak besah kemalangan dihimpit kenderaan pacuan empat roda kepunyaan si kaya yang tidak ketahuan. Patah sebelah kaki nasibnya badan di hospital tersadai amatlah kasihan.

Deringan telefon pada jam 11.00 malam itu, benar-benar meragut ketenanganku, kak besah dihospital kemalangan ngeri menimpa badan. Bagai nak pengsan aku mendengarnya. Terbayang halilintar di ruangan mata. Secepat kilat 30 minit perjalanan akupun sampai ke sana.  Di hospital kakak ku merana beberapa bulan jua akhirnya. Kepada mana-mana insan prihatin yang telah menghantarnya, kuucapkan terima kasih yang tidak terhingga. Angkara langgar lari itulah namanya.... 

Untuk masa depan kakak dan 5 anak saudaraku, kuusaha menjejak hingga berjaya. Kepada mahkahmah dan pejabat insuran, kumerayu pembelaan yang selayak untuknya. Aku yakin demi kakak ku yang baik budi, kebenaran akan berpihak padanya. 

Setelah 18 bulan turun naik ke mahkahmah akhirnya nasib kakakku terbela sudah. Pampasan dijadikan sebuah rumah di tanah keluarga yang dibeli dari wang tinggalan suaminya. Kak besah berpindah berubah rasa mendekati kak long tempat bermanja. Ehsan jabatannya, jawatan baru diwujudkan cara pentadbiran dari kota ke desa. Alangkah prihatin jabatan ini, janji kak besah, kerja sungguh-sungguh itulah galang gantinya.

Kak besah sedar hidup perlu diteruskan. Masa berlalu seorang demi seorang anaknya berjaya berakhir dengan mendapat kerja. Si ibu tunggal ini amatlah bertuah, hayatnya disanjung tanpa sempadan. Ada besi dalam sebelah kakinya menjadikan pergerakannya sukar sekalian. Baru kutahu....deritanya insan malang yang sedemikian keadaan.  

Di hadapan mata kak long, kak besah terus bekerja membesarkan anak-anaknya. Dengan kasih sayang yang ada, beliau gagah mengharungi hidup yang telah ditentukan. Kuperhatikan prihatin benar kak long kepada nasib malang adiknya. Setiap tindakan dan sentuhannya menjadikan aku lebih merasa pilunya...Bagai disayat-sayat ngilu, pilu dan sukar untuk diceritakan dengan kata-kata.

Mana tidaknya....kak long membantu sehabis daya....
  1. Sukar melangkah melalui parit kecil....dia pergi ke depan...diangkatkannya selipar kak besah,
  2. sukar memakai kasut....dia membongkok...disarungkannya kaki kak besah yang cedera,
  3. sukar berjalan di tanah yang tidak rata....ditatih dan dipimpinnya tangan kak besah perlahan-lahan, 
  4. dihulurkan kedua tangannya...dipapahnya...kak besah tanpa tahu erti malu dan segan memiliki adik yang sakit begitu... 
Begitulah kak long dengan sikap semulajadi anugerah Tuhan. Tak mahu adiknya rasa terpinggir, dibawanya kak besah bercampur dengan masyarakat walau dengan memakai tongkat. 

Ke tempat kerja kak besah dihantar oleh kak long bersama bang haron. Ibarat anak yang perlukan sokongan, kak besah dibantu di saat-saat ia memerlukan. Sporting habis kak long dan bang haron. menjadi rutin sepanjang masa. Pergi kerja jam 7.30 pagi balik jam 5.30 petang. Pergi balik dihantar mengguna kenderaannya bergilir  sama ada kenderaan kak besah atau kenderaan kepunyaan kak long. 

Kuperhatikan tiada berkira di antara mereka. Antara adik dengan kakak sandar menyandar pengubat duka. Abang iparku amat memahami kasih sayang yang terjalin antara kakak dan adiknya ini. Terima kasih Tuhan sebab menganugerahkan abang ipar  yang tenang melayani kerenah keadaan..selagi hayat dikandung badan... beliau kami anggap semacam bapa terus-terusan...  

Bersambung...


2 comments:

  1. Salam CJ,
    Erat sungguh ikatan adik beradik CJ...tahniah. Kalau bukan kita yg ambik berat ..siapa lagi? Siapalah kita tanpa mereka.....

    ReplyDelete
  2. tqvm n salam arzone,
    tepat benar kenyataan itu. cubit peha kiri peha kanan terasa jua. berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. berkongsi susah sekurang-kurangnya dapat meringankan. hanya itulah yang kami ada sejak ditinggalkan oleh ibu tercinta ketika usia masih muda

    ReplyDelete

Related Posts with Thumbnails